Wednesday, June 10, 2009

Shukery Hashim meninggal dunia


KUALA LUMPUR, 10 JUN 2009: Pelakon terkenal, Shukery Hashim, 55, meninggal dunia dalam keadaan nazak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, kira-kira jam 1 petang tadi, selepas 3 bulan menderita penyakit barah pankreas.

Shukery dimasukkan ke HUKM pada 4 Mei lalu bagi menjalani rawatan lanjut selepas menjalani pembedahan selama 6 jam di Hospital Selayang pada 24 April lalu.

Perkara ini telah disahkan oleh rakannya, pelakon Den Wahab yang sempat menjenguk arwah di hospital berkenaan sekitar jam 12 tengahari tadi.

"Saya menziarahi arwah apabila diberitahu bahawa dia telah dimasukkan ke HUKM. Bila saya sampai, arwah memang tengah nazak. Keadaan beliau sudah bertambah teruk sejak awal pagi lagi.
"Malah, pihak hospital sendiri sudah pun memaklumkan kepada keluarganya bahawa arwah sudah tidak ada harapan untuk diselamatkan lagi. Apabila saya telah meninggalkan kawasan HUKM, tiba-tiba saya diberitahu arwah bahawa arwah sudah tiada. Hasrat saya untuk memaklumkan keadaan arwah yang sedang tenat kepada semua kawan-kawan langsung tidak kesampaian," kata Den kepada mybikerz.blogspot.com.

Ketika ini jenazah Allahyarham telah dibawa di kediamannya, di Taman Fairuzah untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Taman Watan, Ampang selepas Asar hari ini.

"Tapi saya tidak pasti di mana jenazah arwah akan dikebumikan. Saya hanya diberitahu oleh anak arwah bahawa mereka bercadang untuk mengebumikan jenazahnya di Keramat. Lagipun arwah pernah berpesan supaya cepat-cepat kebumikan jenazahnya kalau sudah tiada," katanya.

Ketika hayatnya, Shukery yang pernah membintangi filem seperti Rahsia, Syahadat, Pesona Cinta, Seri Dewi Malam, Janji Diana dan Syhhh.. Dia Datang. Beliau juga membintangi puluhan drama seperti Di Mana Kasihmu, Cinta Gila dan 3T.

Shukery yang dilahirkan pada tahun 1954, merupakan anak jati Langkawi, Kedah. Beliau mendapat pendidikan di merata tempat termasuk Sekolah St Michael, Alor Setar dan Sekolah Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Shukery pernah menerima 3 anugerah dalam industri seni di Malaysia iaitu Pelakon Terbaik Anugerah Sri Angkasa 1990, Pelakon Drama TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1995).

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham dan semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah.

No comments: