Thursday, April 17, 2008

Beego Fail Permohonan Nusyuz Terhadap Isteri



KUALA LUMPUR 17 April - Pelakon, Beego yang baru empat bulan berkahwin dan hanya sempat mendampingi isterinya selama 10 hari, telah memfailkan permohonan nusyuz (derhaka) terhadap pasangannya itu, Intan Shahira Mohd. Shahru, 27, di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Permohonan Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 28, yang difailkan pada 22 Februari lalu, disebut di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail hari ini.

Hakim tersebut menetapkan 30 Mei ini untuk pengurusan kes setelah peguam syarie, Md. Nor Md. Din yang mewakili Beego memohon sedikit masa bagi membolehkan Intan Shahira memfailkan pembelaan dan diikuti balasan oleh pihaknya serta persediaan kes.

Di mahkamah hari ini, Beego yang dikenali melalui drama bersiri ‘Puteri’ dan merupakan bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz hadir bersama beberapa rakannya termasuk pelakon Que Haidar.

Intan Shahira yang tidak hadir diwakili oleh peguam syarie, Marlina Sobri.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Md. Nor berkata, Intan Shahira telah memfailkan tuntutan fasakh terhadap suaminya tetapi dokumen tuntutan itu masih belum diterima oleh pihaknya.

Difahamkan tuntutan fasakh itu difailkan kira-kira sebulan lalu.

Sementara itu, Beego berkata, permohonan nusyuz itu difailkan kerana dia tidak dibenarkan berjumpa isterinya dan tidak diizinkan pulang ke rumah.

”Sembilan tahun kami berkawan, saya sedih dan tidak sangka kes seperti ini terjadi. Mungkin ini satu dugaan untuk saya,” katanya.

Pasangan itu bernikah pada 28 Disember tahun lalu di Bandar Baru Uda, Johor Bharu dan majlis perkahwinan diadakan sehari selepas itu serta pada 30 Disember lalu.

Pasangan itu turut mengadakan resepsi perkahwinan di Hotel Palace of The Golden Horses, di sini pada 12 Januari lalu.

”Sehari selepas majlis resepsi itu, saya pergi ke Singapura untuk pengambaran drama selama 10 hari. Saya bersama isteri saya selama 10 hari sahaja kerana selepas balik dari Singapura saya tidak dibenarkan menemuinya.

”Sehingga hari ini, telah tiga bulan saya tidak berjumpa isteri saya,” katanya sambil menambah bahawa Intan Shahira hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) kepadanya pagi ini menyatakan dia tidak dapat hadir ke mahkamah kerana bekerja.

Beego turut menafikan bahawa dia mendirikan rumahtangga dengan Intan Shahira demi harta.

No comments: